10 Fakta Menarik Mengenai Keputusan PRU 14.

Demam pilihanraya ke 14 meskipun telah berlaku hampir dua bulan yang lepas, ianya masih lagi belum kebah. Dan berikut dibawah ada 10 fakta menarik mengenainya;

1. Pakatan Harapan buat pertama kalinya menang sebagai parti pemerintah apabila rakyat Malaysia rata-ratanya mengundi wakil parti itu dalam pilihanraya ke 14 pada 9 Mei yang lalu.

2. Apa yang menariknya, Pakatan Harapan meskipun tidak bergabung dengan PAS – Parti pembangkang senior yang majoritinya disokong melayu muslim, tetap berjaya merampas pentadbiran negara daripada cengkaman Barisan Nasional. Sebelum ini ramai penganalisis politik meramal Pakatan Harapan akan melalui jalan sukar untuk memenangi pilihanraya umum ke 14 kerana berpecah dengan PAS namun keputusan PRU 14 menyaksikan pengundi tidak lagi mahu dibayangi politik perkauman dan keagamaan.

3. Sejarah baru tercipta apabila Barisan Nasional yang diberi kepercayaan untuk mentadbir Malaysia selama 61 tahun jatuh tersungkur dalam pilihanraya ke 14. Ini adalah kekalahan kali pertama Barisan Nasional dan mereka kalah dengan sangat teruk!

4. Kekalahan Barisan Nasional tidak menghentikan cerita duka mereka apabila gabungan itu juga berpecah dan meninggalkan UMNO, MIC dan MCA bersendirian menghadapi kekalahan besar parti gabungan itu. GERAKAN, Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) keluar daripada Barisan Nasional (BN) hanya dalam masa beberapa minggu BN diisytiharkan kalah PRU 14. Kasihan bukan? Apabila mempunyai kuasa, kawan-kawan mendekati tetapi apabila kehilangan kuasa, orang yang disangka kawan, menikam dari belakang. Itulah politik!

5. Tun Mahathir Mohammed juga mencipta sejarah tersendiri apabila diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia buat kali kedua! Tun Mahathir pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun dan itu juga merupakan sejarah negara.

6. Tidak cukup dengan sejarah Perdana Menteri paling lama dan kali kedua, Tun Mahathir juga membuat rekod baru dengan menjadi Perdana Menteri paling tua dalam sejarah dunia. Berusia 93 tahun, rakyat Malaysia lebih rela memilih Perdana Menteri itu berbanding Najib Razak yang jauh lebih muda.

7. Keputusan PRU 14 menyaksikan Tony Pua dari parti DAP mendapat majoriti paling banyak iaitu 106,903 perbezaan undi jauh meninggalkan pesaing-pesaingnya Ho Kwok Xheng dari BN dan Wong Mun Kheong dari PRM bagi pertandingan tiga penjuru di Parlimen Damansara. Tony mendapat undi sebanyak 121,283 undi manakala Ho Kwok Xheng mendapat 14,380 undi dan Wong Mun Kheong hanya mendapat  617 undi sahaja!. Dan lagi, daripada 83% pengundi yang keluar mengundi sebanyak 78% darinya telah memilih Tony Pua.

8. Kerusi Parlimen Damansara juga merupakan kerusi yang mempunyai paling ramai pengundi berdaftar iaitu seramai 164,322 pemilih selepas kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya diluluskan Dewan Rakyat, Mac lepas (2018).

9. Majoriti paling sedikit pula berada di Parlimen Tasek Gelugor. Kerusi itu dimenangi oleh penyandangnya dari BN, Datuk Shabudin Yahaya dengan hanya kelebihan 81 undi setelah meraih 18,547 undi keseluruhan. Pencabarnya, Marzuki Yahaya (PKR-BERSATU) dan Rizal Hafiz Ruslan (PAS) masing-masing mendapat 18,466 dan 14,891 undi. Kerusi Parlimen itu mempunyai 60,850 pemilih berdaftar dan 85 peratus atau 51,904 keluar mengundi.

10. PAS meskipun gagal menjadi ‘king maker’ tetap berjaya mencipta sejarah tersendiri apabila dua negeri di Pantai Timur, Terengganu dan Kelantan telah mengundi dan memilih parti itu. Ini sekaligus menepis dakwaan kononnya PAS akan kehilangan Kelantan. Bukan sahaja PAS berjaya mempertahankan Kelantan dengan lebih cemerlang bahkan berjaya merampas Terengganu buat kali kedua daripada tangan BN.

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *